Terdapat 8 jenis
teknik-teknik barat dalam pengawalan minda separa sedar yang telah dikenal
pasti. Teknik-teknik tersebut ialah teknik Charles Baudoin, teknik terima
kasih, teknik tidur, teknik alasan, teknik penetapan, teknik bioskop mental dan
teknik menulis.
Teknik Charles Baudoin
Charles Baudoin adalah
profesor di Rousseau Institut Peranchis. Beliau adalah ahli psikoterapi yang
cekap dan pengarah penelitian dari New Nancy School of Healing yang mencipta cara
terbaik bagi memberi kesan kepada minda separa sedar melalui cara masuk semasa
tidur. Sebagai contoh, anda menghadapi masalah hutang yang bertimbun-timbun.
Sebelum melelapkan mata pada waktu malam, bacalah ayat ini berulang kali,
"Selesai dengan memuaskan menurut kehendak Tuhan". Idea dan ayat
tidak perlu panjang berjela-jela. Cukup apabila ayat itu dilafazkan secara
pendek supaya mudah diingat. Kecerdasan tidak terbatas yang bekerja melalui
hukum bawah sedar mendatangkan penserasian menurut prinsip keserasian.
Ulangi proses ini setiap malam selama 10 malam berturut- turut. Rasailah
kedamaian serta ketenangan dan anda boleh tidur dengan lena. Keesokan pagi,
anda dapat bangun daripada tidur dengan perasaan nyaman dan damai kerana
masalah anda sudah selesai.
Teknik Terima Kasih
Islam menekankan permintaan
kepada Tuhan serta mengucapkan syukur. Hati yang berterima kasih selalu dekat
dengan tenaga kreatif alam semesta. Ia menyebabkan banyak anugerah mengalir
kepadanya kerana hukum timbal balik adalah berdasarkan hukum kosmik daripada
aksi dan reaksi.
Saya ingin berkongsi dengan anda cerita berkenaan Pak Cipto yang selalu
berkata, "Hutang bertampuk, aku tidak ada pekerjaan serta mempunyai anak
lima dan tidak berduit. Apakah akalku?" Secara teratur, setiap malam
selama tiga minggu beliau ulangi kata-kata, "Syukur pada Allah atas
kekayaan ini," dengan tenang dan damai sehingga perasaan syukur dan terima
kasih pada Tuhan meresapi seluruh sanubarinya. Perasaan kekurangan, kemiskinan
serta kehinaan, hilang dengan perlahan- lahan. Ucapan syukur dilakukan olehnya
sekerap mungkin.
Walaupun belum lagi menjadi kenyataan, namun beliau tetap mengucapkan syukur
dengan kepercayaan serta keyakinan yang tinggi. Akhirnya, Pak Cipto berjaya
meraih pendapatan yang lumayan dengan dinaikkan pangkat oleh majikannya.
Contoh yang mudah, umpama seorang ayah yang berjanji kepada anaknya hendak
membelikan sebuah motosikal yang cantik apabila anaknya berjaya mendapat
kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sudah pasti anaknya mengucapkan
terima kasih kepada ayahnya, walaupun motosikal itu belum lagi dibelinya.
Begitulah juga dengan teknik ini, ucapkan kesyukuran dengan yakin dan gembira
walaupun belum lagi diterjemah ke alam nyata.
Teknik Tidur
Lakukan teknik ini semasa
anda hendak melelapkan mata. Pada masa itu, anda berada dalam keadaan
hipnogogik (antara lena dan jaga). Gelombang otak anda adalah antara alfa dan
delta. Minda anda juga berkualiti dan efektif.
Apabila anda menghadapi masalah yang rumit, semasa hendak tidur, katakan,
" Dengan kuasa Tuhan, semua masalah selesai dengan baik." Apabila
anda terjaga daripada tidur, ulangi lagi perkataan yang anda ucapkan semalam
berkali-kali. Rasailah kepuasan dan ketenangan yang tidak terhingga. Minda
separa sedar anda sebenarnya umpama robot dan tidak berperasaan. Maka, setiap
perkara yang anda nyatakan pasti diterimanya 100 peratus.
Teknik Alasan
Teknik ini banyak digunakan
oleh para doktor bagi merawat pesakit. Doktor memberi keyakinan kepada
pesakitnya, penyakit yang mereka hadapi itu lebih disebabkan oleh pola fikiran
mereka yang negatif. Pesakit selalunya merasakan mereka ditimpa malang apabila
mendapat penyakit. Pada masa ini, peranan doktor adalah menegaskan kepada
pesakitnya yang penyembuhan boleh berlaku apabila pesakitnya berfikiran
positif.
Ini bermakna, pesakit perlu yakin yang penyakitnya dapat sembuh. Minda separa
sedarnya pasti percaya yang dia boleh sembuh daripada penyakitnya. Dengan itu,
organ- organnya bertugas dengan baik dan urat sarafnya pula menjalankan tugas
dengan cekap bagi penyembuhan secara efektif. Dr. Quimby dari Maine banyak
menggunakan teknik ini antara tahun 1849 hingga 1869.
Teknik Penetapan
Daya penetapan ada pada diri kita semua. Dalam konteks ini, kita bertambah yakin
apabila kita sedar yang Tuhan menjadikan kuasa alam semesta ini semata-mata
bagi kepentingan manusia.
Seorang perempuan muda yang cantik menghadapi masalah diganggu oleh seorang
lelaki yang tidak dikenali melalui panggilan telefon pada setiap hari. Oleh
itu, setiap hari perempuan muda itu membuat penegasan, " Dengan kuasa
Allah, aku berserah kepadanya. Allah akan melepaskan aku daripada masalah ini.
Aku bebas daripada masalah ini." Akhirnya, perempuan muda itu terselamat.
Lelaki yang selalu mengganggunya itu hilang pergi entah ke mana. Justeru,
apabila kita yakin dan berserah pada Tuhan, apa yang kita hajati pasti tercapai
dan pasti ada jalan penyelesaiannya.
Teknik Bioskop Mental
Teknik ini lebih menitikberatkan gambaran yang dicipta dalam minda. Pepatah
Cina ada menyatakan, 'sebuah gambar berharga lebih daripada seribu kata'. Minda
separa sedar sentiasa sensitif pada gambaran yang dibina. Ia menggambarkan
serta bertindak seolah-olah diri kita melalui apa yang kita gambarkan. Lalu
gambaran itu pasti menjadi kenyataan.
Teknik ini pernah digunakan oleh pemuda yang bernama Ahmad semasa dia cuba
menjual barangan syarikat yang dinaunginya. Sebelum tidur pada waktu malam, dia
melakukan meditasi (rujuk teknik meditasi) di kerusi malas kepunyaannya.
Selepas itu, dia menggambarkan dalam mentalnya dengan terang dan yakin, ramai
orang yang mahu dan berminat membeli barangan yang dijualnya. Dia juga dapat
merasakan dan menghadirkan bau wang yang diterima daripada setiap pelanggannya.
Selepas itu, dia terus tidur dengan penuh rasa kepuasan seolah-olah dia sudah
berjaya menjual barangannya.
Pada keesokan harinya, dia terkejut apabila perkara yang digambarkannya pada
malam itu benar- benar berlaku. Ini kerana, kecerdasan tidak terbatas
menjalankan tugasnya bagi merealisasikan apa sahaja yang digambarkan. Tuhan
maha berkuasa. Dia menjadikan kita dengan kelebihan yang hebat iaitu keupayaan
dan kebolehan berimaginasi.
Teknik ini juga berkesan bagi menggambarkan penyembuhan pada penyakit yang
berjangkit. Keajaiban pernah terjadi di mana seorang pemuda menghidap penyakit
barah otak. Hasil pemeriksaan doktor, pemuda ini sudah tidak berpeluang sembuh
daripada penyakit itu. Dia juga diramal berpeluang hidup dalam tiga bulan
sahaja lagi. Namun begitu, pemuda ini tidak pernah berputus asa. Setiap malam,
dia melakukan meditasi (rujuk teknik meditasi) dan menggambar-kan sel- sel
barah otaknya kian hilang. Dia juga membayangkan yang dia semakin sembuh dari
hari ke hari. Pada suatu hari, apabila doktor memeriksa penyakitnya, sel-sel
barah pemuda itu sudah tiada lagi. Dengan lain perkataan, pemuda itu sudah
sembuh daripada penyakitnya. Sesungguhnya, minda manusia diberi kehebatan bagi
penyembuhan secara semula jadi. Begitulah hebatnya kuasa minda yang dianugerah
Tuhan.
Teknik Menulis
Teknik menulis ini pernah digunakan oleh bekas Presiden USA, James A. Garfield.
Semasa beliau berumur 10 tahun, beliau terlihat seorang lelaki yang berpakaian
mewah sedang menaiki kereta kuda. Beliau bertanya kepada ibunya siapa lelaki
itu. Ibunya memberitahu yang lelaki itu adalah ahli kongres.
Kemudian, beliau terus berazam yang beliau ingin menjadi seorang ahli kongres
seperti lelaki yang dilihatnya apabila beliau dewasa. Keesokan harinya, beliau
terus menulis hajatnya, "Saya akan menjadi seorang ahli kongres."
Beliau melihat tulisan itu pada setiap hari. Dalam konteks ini, minda separa
sedar beliau menerima maklumat berkenaan matlamat dan cita- citanya.
Seterusnya, minda separa sedarnya menjalankan tugasan bagi merealisasikan cita-citanya.
Beliau menggunakan kemahuannya yang bersungguh-sungguh (will power) bagi
menjadi seorang ahli kongres.
Pada hari minggu, beliau bekerja memotong kayu supaya dapat mengumpul duit bagi
membeli buku dan belajar cara- cara menjadi ahli kongres. Apabila berumur 16
tahun, beliau bekerja sebagai penjaga kedai bagi membantu ibunya. Beliau juga
menyambung pelajaran bagi menjadi ahli kongres. Ketika berumur 18 tahun, beliau
mendapat kontrak menyapu lantai di Akademi Kolej William dan mendapat punca pendapatan
lain dengan mengajar di sekolah. Pada hari minggu pula, beliau mengambil upah
memotong kayu. Semasa berumur 20 tahun, beliau berjaya menerima Ijazah
Undang-undang dengan kepujian dari Kolej William. 6 tahun kemudian, beliau
menjadi senator di wilayahnya dan semasa berumur 33 tahun, beliau berjaya
menjadi ahli kongres.
Kejayaannya itu berpunca daripada apa yang difikirkannya. Minda sedarnya
menghantarkan maklumat kepada minda separa sedar dengan cara melihat tulisan
cita-citanya. Menulis impian anda pada sekeping kertas boleh membawa pemikiran
minda separa sedar (subconscious mind) supaya bertugas bagi mencapai impian
anda. Berikut adalah cara yang teratur bagi teknik ini:
A.
Tentukan matlamat. Apabila anda
hendak berjaya dalam bidang perniagaan, tentukan matlamat secara jelas.
Pastikan matlamat itu logik dan mampu anda capai. Misalnya, anda hendak
mendapat keuntungan perniagaan RM5, 000 sebulan. Jelaskan pada diri anda yang
jumlah itu pasti tercapai.
Kejutkan 12 bilion sel-sel otak dengan menulis matlamat anda. Ini membangkitkan
minda separa sedar anda supaya bertugas dan menjayakan matlamat anda. Minda
separa sedar bertindak membantu anda mencari peluang bagaimana mendapatkan
keuntungan sebanyak RM5, 000 sebulan secara ghaib (di luar jangkauan pemikiran
biasa).
B. Setiap hari, lihat impian yang anda
catatkan. Dengan melihat impian itu, ia melibatkan saraf optik yang
ukurannya 17 kali lebih besar daripada saraf-saraf yang lain. Saraf itu juga
menyebabkan saraf- saraf lain terus menuju ke otak anda.
C. Buat gambaran setiap hari iaitu
selepas anda melihat impian yang anda tulis. Gambaran juga dapat dibuat
pada waktu malam, selepas anda bermeditasi dan bertafakur.
D. Bina cadangan spontan pada diri anda.
Buat pernyataan positif pada diri yang anda boleh mencapainya. Gambarkan seolah- olah anda sudah pun
mencapai impian yang anda bina. Ucapkan kesyukuran yang tidak berbelah
bahagi pada Tuhan. Pastikan anda lakukan dengan penuh perasaan dan emosi. Minda
separa sedar hanya bertindak apabila anda beremosi dan berperasaan.
E. Sentiasa berfikir berkenaan cara
mendapatkan RM5, 000 setiap bulan. Minda separa sedar anda pasti
mencetuskan idea yang tidak anda duga dan fikirkan sebelum ini. Apabila minda
separa sedar anda mencetuskan idea, catat serta lakukan kerja berdasarkan idea
itu.
Anda juga boleh menggunakan teknik- teknik di atas bagi pelbagai kegunaan dan
kehendak anda. Minda separa sedar anda sedia menerima apa sahaja saranan dan
arahan daripada minda sedar tanpa membantah. Anda perlu yakin yang usaha anda
akan memperoleh hasil yang baik.
Dipetik daripada: Bab 3, buku Kuasa Minda Separa Sedar oleh Mohd Rozani Pawan
Chek
Copy paste from others.